20120127

Diskusi Si Pari-Pari





Wanita, malam malam kelmarin aku bermimpi sesuatu yang ganjil. Dalam mimpi itu, aku sebagai seseorang yang mempunyai keserabutan yang tidak dapat di lerai dalam jiwanya yang menderita kegilaan. Aku punya keinginan berlari yang serupa makan nasi. Sering, berlari dan berlari. Sama ada mengejar atau di kejar, aku sendiri tidak dapat mencari kata kunci.

Meneruskan mainan mimpi, dalam larian aku pada petang waktu daunan kering longlai melayang ke bumi, aku terjumpa si pari-pari. Kecil. Berbaring di bawah pepohon layu di tengah tengah hutanan kecil peninggalan pembangunan urbanisasi yang menggila. Pari-pari itu kelihatan bersedih. Aku mendekatinya dengan kusut serabutnya aku. 



Terpandangkan aku, pari-pari itu segera bersuara. Suaranya merdu sekali, wanita. Dia berkata, "Manusia, kau di takdirkan menjumpai aku. Dan aku yakin kau juga di takdirkan juga untuk membantuku. Bantulah aku manusia. Nescaya akan aku membantu mu pula."

"Aku ini sebagai manusia biasa biasa tiada apa yang mampu aku bantu wahai si pari-pari kecil." Suara dengan nada kegusaran aku lontarkan untuk menjawab permintaan.

"Kau mampu. Hanya manusia berhati mulia yang mempunyai upaya untuk melihat aku yang realitinya halus ini, manusia. Dan manusia yang berhati mulia juga yang mampu membantu aku. Bantulah aku, lepaskan sayapku dari tindihan batu batu celaka ini." Rintihan sayu si pari-pari mengiringi suaranya.

Kau tahu, wanita. Aku membantu si pari-pari itu dengan upaya ku. Lalu dia menyatakan akan memperkenankan tiga permintaan daripada aku. Selepas menimbang tara segala macam apa yang nafsu : akal : hati mahukan, aku menyuarakan tiga permintaan itu. 

Pertamanya, aku mahukan suatu pencetus supaya aku dapat menyuarakan apa yang aku fikirkan dan rasakan kepada suatu medium yang dapat di tatap, di baca. Si pari-pari mengeluarkan tongkat sakti yang di hujungnya punya bintang berbucu lima sambil memutar mutarkannya. Blink! Nah sudah makbul permintaan yang pertama. Muncullah aku yang sedang menekan papan kekunci menyiapkan sebuah cerita.

Keduanya, aku mahukan kesihatan untuk aku melakukan segala macam perkara sama ada duniawi atau ukhrawi mengikut desiran hati. Si pari-pari lakukan perkara yang sama sepertimana memakbulkan permintaan aku yang pertama. Blink! Maka keluarlah aku dengan sihatnya melakukan segala macam perkara yang sudah, sedang atau akan aku lakukan.

Ketiganya, aku mahukan kau, wanita, untuk mendengarkan rengek rengek manja hati calar balar yang aku punya. Kali ini, si pari-pari kecil memperlihatkan wajah yang gusar. Dia cuba memutar mutarkan tongkat saktinya berulang kali. Di cubanya lagi. Dan lagi. Tapi, wajahnya yang gusar bertukar kepada cemas. Lalu dia berkata.

"Manusia mulia, wanita yang kau mahukan dia mendengarkan suara hatimu itu ialah sang bidadari. Aku sebagai si pari-pari tidak mampu untuk menembusi hatinya menyampaikan mesej yang kau cuba beri. Manusia mulia, teruskan usahamu. Teruskan. Aku tidak dapat membantu mu."

2 comments:

Zafira Zaki said...

pari-pari tak cukup kuasa la tu. hihi. :)

Comek said...

Mohon bidadari sumbangkan kuasa kepada pari-pari. :P